Tuesday, June 2, 2009

Peringatan Buat Hamalatul Quran

Sahabatku para penghafal al-Quran,

Sesungguhnya Allah akan menguji hamba-hambaNya yang menghafal al-quran. Sejauh mana keazaman kita dalam hafazan. Oleh sebab itu, kita lihat ramai yang menghafal al-quran yang diuji dengan pelbagai ujian yang kadang-kadang kita rasa tidak mampu untuk menanggungnya. Maka tidak hairanlah kita menyaksikan mereka yang telah menghafal al-Quran tewas dan terlibat dalam maksiat yang sangat parah.

Al-Quran tidak akan lekat di hati orang-orang yang tidak mampu untuk menjaganya sebaik mungkin, maka beruntunglah mereka yang menghafal, menghayati serta mengamalkan isi al-quran tersebut…

Jadikanlah tujuan dan matlamat di sebalik menghafal al-Qur’an semata-mata hanya kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah, (Ikhlas) serta hadirkan dalam hati bahawa apa yang dibaca itu adalah kalam Allah. Jauhilah dari menghafal al-Qur’an untuk mendapatkan kedudukan disisi manusia (dipuji) ataupun untuk mendapatkan habuan dunia.

Lupa hafalan al-Qur’an adalah antara musibah yang besar. Sebenarnya hanya orang-orang yang terpilih sahaja yang dapat menghafal al-quran.

Imam Syafie Rahimahullah yang terkenal dengan cepat hafalannya pun pernah mengadu kepada gurunya Waqi’ Rahimahullah bahawa suatu hari dia terasa amat sukar untuk menghafal, lalu gurunya menunjukkan kepadanya satu bentuk rawatan yang tegas iaitu dengan meninggalkan perkara-perkara maksiat dan membersihkan hatinya dari semua perkara yang menghalang dari tuhannya. al-Quran adalah cahaya . Cahaya Allah tidak dapat bersama dengan perkara kemaksiatan.

Para Sahabat yang ku kasihi..

Mata kita selalu melihat al-Quran, tetapi dengan mata ini juga kita selalu melakukan zina mata (cth :melihat lelaki ajnabi tanpa urusan yang mengharuskan), telinga ini selalu mendengar kalam Allah, tetapi dengan telinga ini juga kita selalu mendengar apa yg bertentangan dengan Kata-kata Allah(cth: Muzik yang akhirnya melalaikan) , mulut ini sentiasa membaca KalamNya, tetapi sering juga mulut ini mengumpat, membuka aib orang, jari-jemari kita sentiasa memegang Mushaf al-Quran, tetapi dengannya juga kita selalu SMS atau Chating dengan lelaki tentang perkara-perkara yang sia-sia…

Adakah kita sering meninggalkan tidur kita semata-mata untuk bangun Solat Tahajjud . Qiamulail adalah warisan bagi mereka yang menghafal al-Quran.

Sehari kita tinggalkan al-Quran, Seminggu al-Quran meninggalkan kita, Sebulan kita tinggalkan al-Quran, Setahun al-Quran meninggalkan kita..

Walaupun seharian kita sibuk dengan pelajaran , utamakan tanggungjawab kita dengan al-Quran terlebih dahulu, Kerana apabila kita mengutamakan al-Quran, Allah akan mengajar kita kerana ilmu itu datang dariNya, dan akan mempermudahkan segala urusan kita. Insya Allah.

Banyak manakah kita meluangkan masa kita bersama dengan al-Quran (Murajaah/Mengulang) dalam seharian ?? Murajaah/ulang semula akan apa yang telah dihafal merupakan tanggungjawab kita dengan Allah.

Sudahkah kita berahklak dengan Akhlak al-Quran. Sedangkan perbuatan kita seharian selalu bertentangan al-Quran. Malulah kita dengan al-Quran terutama lagi dengan Pencipta kita , Allah.

Sekadar peringatan untuk diri sendiri yang lemah dan hina ini, dan peringatan juga buat sahabat-sahabat yang menghafal al-quran.

Barakallahu fikum…




credit to: saidhawwa.com

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...